Berikut adalah soalan-soalan lazim (Frequently Asked Questions) berkenaan dengan Minyak Pati (Essential Oils).
Apa sebenarnya Minyak Pati (Essential Oils) ni?
Minyak pati telah digunakan sejak beribu-ribu tahun dahulu dalam pelbagai budaya di dunia ini untuk tujuan rawatan pelbagai masalah kesihatan, pembuatan kosmetik dan minyak wangi, atau sekadar memberi ketenangan kepada minda yang kusut masai. Kerana kebaikan dan penggunaannya yang sangat meluas – dari aromaterapi hingga ke penjagaan kulit dan perubatan – ia telah menjadi semakin terkenal di kalangan masyarakat pada masa sekarang ini sebagai kaedah rawatan yang selamat dan murah.
Minyak pati dihasilkan daripada pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan termasuk bunga-bunga, daun-daun, kulit kayu, biji, damar dan kulit buah melalui proses penyulingan (steam distilled) atau pemerahan dingin (cold-pressed). Kedua-dua proses ini boleh menghasilkan minyak pati yang tulen, pekat (concentrated) dan berkualiti tinggi. Malah, satu titik minyak pati yang tulen sudah cukup memberi kesan yang menakjubkan.
Proses pengasingan atau penyedutan minyak pati daripada tumbuh-tumbuhan (samada dari bunga, daun, kulit, biji atau damar) adalah satu proses pengasingan bahan-bahan terapeutik (therapeutic compounds) daripada tumbuh-tumbuhan tersebut yang boleh merawat atau meredakan pelbagai masalah kesihatan fizikal (dalaman dan luaran), mental atau emosi. Bahan-bahan terapeutik yang terdapat dalam minyak pati selalunya disebut sebagai antiradang (anti-inflammation), antibakteria, antioksidan, antiviral, antiparasit, anti-kemurungan (antidepressant) dan anti-kulat (antifungal). Bahan-bahan terapeutik inilah yang melindungi tumbuh-tumbuhan tersebut daripada serangga-serangga dan cuaca yang sentiasa berubah. Jadi dengan menggunakan minyak pati ini kita sebenarnya mengambil manfaat daripada kebaikan-kebaikan bahan-bahan terapeutik yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan tersebut.
Jadi bukalah minda anda kepada satu cara baru merawat masalah kesihatan dengan cara yang lebih selamat, lebih mudah dan murah!
Bagaimanakah nak guna Minyak Pati (Essential Oils) ini?
Minyak pati boleh digunakan dalam pelbagai cara, bergantung kepada tujuan penggunaan tersebut. Antaranya ialah:
1. Aromaterapi
Aromaterapi adalah satu proses penyebaran aroma ke udara di mana aroma tersebut memberi kesan terapi samada melalui kulit atau sistem pernafasan. Ada dua (2) kaedah:
a. Menggunakan Pembaur Elektrik (Electric Diffuser)
Ini adalah cara yang paling banyak digunakan untuk manfaatkan kebaikan minyak pati. Campurkan beberapa titik minyak pati dengan air bersih dalam mangkuk pembaur dan biarkan pembaur itu beroperasi sehingga ia berhenti sendiri (biasanya sehingga 3-4 jam, atau sehingga air kering). Aroma dari minyak pati akan memenuhi ruang bilik atau pejabat.
b. Hiduan
Untuk mendapat kesan yang lebih cepat, boleh hidu terus aroma minyak pati dari botolnya. Cara ini biasanya digunakan untuk melegakan sakit tekak atau mencairkan kahak, atau untuk meredakan demam sejuk dan selsema.
2. Topikal
Topikal merujuk kepada proses penyapuan minyak pati terus ke bahagian badan bagi mendapat manfaat bahan-bahan terapeutik daripada minyak pati tersebut. Antara kaedah-kaedah topikal adalah seperti berikut:-
a. Urut
Untuk tujuan urut, samada untuk melancarkan peredaran darah atau merawat sendi-sendi yang sakit atau lenguh (cramped), campurkan lebih-kurang 15-20 titik minyak pati kepada 30-35 mL minyak zaitun, minyak kelapa atau minyak jojoba. Jenis minyak pati yang digunakan bergantung kepada faedah yang hendak diperolehi.
b. Sapuan
Untuk tujuan sapuan di tempat-tempat tertentu di bahagian muka atau badan, boleh campurkan 5-10 titik minyak pati kepada krim atau minyak sapuan. Umpamanya, minyak pati limau (lemon essential oil) baik untuk merawat jerawat di bahagian muka, jadi campurkan 5-10 titik minyak pati limau kepada krim jerawat yang biasa digunakan dan sapukan pada tempat jerawat.
c. Gosok
Letakkan 1-2 titik minyak pati di tapak tangan dan gosokkan pada bahagian yang hendak dirawat seperti tempat gigitan serangga, tempat kudis buta atau pada luka-luka kecil. Minyak pati kayu putih (tea tree essential oil) umpamanya baik untuk merawat pelbagai masalah kulit dan membasmi kuman pada bahagian luka.
3. Mandian
Mandian aroma adalah satu cara lagi mendapat manfaat daripada minyak pati. Caranya ialah dengan mencampurkan 20-30 titik minyak pati ke dalam air suam panas dalam tab mandi (bathtub).
4. Semburan
Sesetengah minyak pati baik untuk menghalau serangga dan membunuh kuman, dan boleh juga dijadikan sebagai hand sanitizer. Caranya ialah dengan mencampurkan lebih-kurang 20 titik minyak pati tersebut dengan air suling dan alcohol di dalam botol penyembur.
5. Lain-lain Cara Kegunaan
a. Pembersih Mulut dan Pencegahan Karang Gigi
Campurkan 2 titik minyak pati dengan 1 gelas air suam dan berkumur dengannya.
b. Pencegahan Kelimumur atau Kutu Kepala
Sesetengah minyak pati boleh digunakan untuk merawat masalah kelimumur atau kutu kepala, contohnya minyak pati kayu putih (tea tree essential oil). Caranya ialah campurkan beberapa titik minyak pati dengan syampu atau syampu kutu.
c. Pembersih Muka
Sesetengah minyak pati boleh digunakan untuk merawat muka berminyak, contohnya minyak pati limau (lemon essential oil). Caranya ialah campurkan beberapa titik minyak pati dengan pencuci muka.
Halal kah Minyak Pati (Essential Oils) ni?
Minyak pati SiNa yang diedarkan oleh SOOQ adalah diperbuat daripada 100% ekstrak tumbuh-tumbuhan melalui proses perahan sejuk (cold pressed) atau penyulingan (steam distilled). Jadi ia TIDAK mengandungi alkohol dan bahan-bahan daripada haiwan. Ia juga 100% tulen, iaitu tidak dicampurkan dengan minyak pelarut (carrier oil).
Selamat kah Minyak Pati (Essential Oils) ni?
Minyak pati SiNa adalah selamat digunakan untuk luaran sahaja. Walau bagaimanapun, ikutilah cara-cara penggunaan seperti yang telah diterangkan di atas. Untuk tujuan urut umpamanya, minyak pati hendaklah dicairkan/dicampurkan dengan minyak zaitun atau minyak kelapa, atau minyak urut yang lain. Kalau digunakan terus ke kulit dalam kuantiti yang banyak ia mungkin boleh menyebabkan keradangan atau allergik pada kulit terutamanya kulit yang sangat sensitif.
Ada segelintir pengeluar minyak pati menyatakan bahawa sesetengah minyak pati, contohnya minyak pati Luban (Frankincense essential oil), boleh dimakan atau diminum seperti meletakkan beberapa titik minyak pati ke atas salad atau air teh. Tetapi kebanyakan laman-laman web yang terkemuka seperti webmd.com dan healthline.com tidak menyarankan mana-mana minyak pati ini diambil bersama makanan dan minuman. Malah National Association of Holistic Aromatherapy (NAHA), Amerika Syarikat, juga mengesyorkan penggunaan minyak pati ini untuk luaran sahaja.
Manakala American National Institutes of Health (NIH) pula ada memberi amaran tentang penggunaan minyak pati Lavender bersama dengan ubat-ubat tertentu seperti benzodiazepines, barbiturates dan Ambien untuk merawat insomnia, atau ubat-ubat untuk menurunkan tekanan darah seperti captopril, enalapril dan losartan.
Dinasihatkan ibu-ibu yang mengandung atau yang menyusukan anak supaya mendapat nasihat daripada pakar-pakar perubatan dahulu sebelum menggunakan minyak pati ini. Minyak pati ini hendaklah juga dijauhkan daripada kanak-kanak dan binatang peliharaan seperti kucing. Jika tersentuh kepada kulit kanak-kanak, cepat-cepat sapukan dengan minyak kelapa atau minyak zaitun untuk melarutkannya. Dinasihatkan juga minyak pati ini tidak digunakan pada tempat-tempat yang berdekatan dengan mata dan ruang telinga, atau pada tempat kulit yang sangat sensitif.
Bila menggunakan minyak pati ini dengan pembaur (diffuser), pastikan ruang bilik tidak terlalu sempit dan ada pengudaraan.
Apakah ada sukatan tertentu untuk pengambilan Minyak Pati (Essential Oils) ni?
Setakat ini belum ada lagi sukatan-sukatan tertentu untuk minyak pati. Malah USDFA sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang garis panduan untuk penggunaan minyak pati ini. Sukatan-sukatan yang dianjurkan di atas adalah anggaran sahaja sebagaimana yang disyorkan oleh beberapa laman web terkemuka. American National Institutes of Health (NIH) umpamanya mengesyorkan penggunaan 15-20 titik minyak pati tulen dengan 30 mL minyak jojoba atau minyak kelapa untuk tujuan penggunaan topikal seperti urut.
Bagaimana untuk membezakan antara Minyak Pati (Essential Oils) yang tulen dengan yang campuran atau tiruan?
Mencari minyak pati yang tulen dan berkualiti tinggi tidaklah terlalu susah jika anda sudah tahu caranya dan anda rajin membuat kajian sendiri di internet seperti bagaimana dan dari spesis mana minyak pati itu diperolehi. 2 minyak pati yang sama nama mungkin diproses dengan cara yang berlainan dan menggunakan spesis tumbuhan yang berbeza, oleh itu anda harus bijak memilih mana yang sesuai untuk diri anda.
Berikut adalah beberapa garis panduan untuk mengenal pasti samada minyak pati itu tulen atau sebaliknya:
Minyak pati tulen tidak mengandungi bahan asing atau bahan-bahan tiruan (artificial substances). Jika ada terdapat bahan sintetik atau alkohol di dalamnya, seperti yang terdapat dalam minyak wangi, maka minyak pati ini tidak tulen dan tidak memberi sebarang manfaat kesihatan melainkan bauan wangi sahaja. Minyak pati tulen juga tidak mengandungi minyak pembawa atau minyak pelarut (carrier oil) seperti yang terdapat dalam minyak aroma.
Minyak pati tulen tidak berminyak (greasy). Sapukan 1-2 titik minyak pati di celah-celah jari anda. Jika anda rasa minyak pati itu berminyak dan melekit, kemungkinan besar ia telah dicampurkan dengan minyak pembawa seperti minyak jojoba. Minyak pati tulen akan mudah diserap oleh kulit dan tidak akan meninggalkan kesan atau rasa berminyak di kulit anda.
Minyak pati tulen tidak meninggalkan residu (residue) atas kertas. Titikkan 1 titik minyak pati atas kertas yang mudah menyerap dan biarkan kering. Minyak pati tulen akan kering dan tidak akan meninggalkan apa-apa kesan atas kertas kerana sifatnya yang sangat mudah meruap (volatile). Sekiranya ada kesan residu atas kertas, ini bermakna minyak pati tersebut telah dicampurkan dengan minyak pembawa atau minyak pelarut (carrier oil).
Minyak pati tulen selalunya disimpan atau dipek dalam botol kaca gelap. Ini adalah untuk melindungi minyak tersebut dari sinar ultraungu (ultraviolet rays) yang boleh merosakkan kualiti minyak tersebut. Pastikan anda membeli minyak pati dalam botol kaca yang gelap sahaja untuk memastikan kualiti minyak pati itu terjamin.