Betulkah Hand Sanitizer Boleh Mencegah Penyakit Berjangkit?


Sekarang ini, bila kita pergi ke mana-mana – hospital, klinik, kedai makan, kompleks beli-belah dan sebagainya - mesti ada hand sanitizer. Wabak Covid-19 telah merubah norma corak kehidupan manusia di Malaysia, malah di seluruh dunia. Jadi, apa sebenarnya hand sanitizer ni dan apa fungsi dia? Ikuti artikel ini untuk mengetahui sejarah amalan mencuci tangan untuk mengelak penyakit berjangkit, dan apa kaitannya dengan hand sanitizer.

Sejarah Mencuci Tangan Untuk Elak Penyakit

Apabila Ignaz Philipp Semmelweis (1 Julai 1818 – 13 Ogos 1865), seorang doktor dan ahli saintis dari Hungary, mengeluarkan pendapat bahawa penyakit berjangkit boleh disebarkan melalui sentuhan tangan pada zaman sebelum penemuan mikroorganisma, pendapat beliau dikecam dengan hebat oleh ahli-ahli akademik yang lain pada zaman tersebut.  Semmelweis telah mencadangkan amalan membasuh tangan dengan larutan limau nipis yang berklorin (chlorinated lime) dalam tahun 1847 kepada para doktor bila terdapatnya kadar kematian yang tinggi di kalangan wanita separuh usia disebabkan penyakit yang berjangkit. Semua doktor telah menolak cadangan Semmelweis kerana tiada bukti saintifik, malah semua doktor memperlekehkan cadangan tersebut. Pada masa itu, pendapat umum mengatakan bahawa penyakit hanya boleh disebarkan oleh miasma (kabus yang berisi zarah dari jisim reput). Kata mereka, “Tidak mungkin penyakit boleh disebarkan melalui agen kecil yang tidak boleh lihat dengan mata kasar.”

Namun selang beberapa tahun selepas kematian Semmelweis, mereka telah menemui bukti berkenaan dengan teori yang telah diutarakan olehnya melalui mikroskop yang dicipta oleh Antoni van Leeuwenhoek. Seorang ahli saintis Perancis, Louis Pasteur, juga telah mengesahkan bahawa teori kuman ini adalah benar. Teori yang diutarakan oleh Semmelweis bahawa penyebaran penyakit dapat dielakkan dengan mengamalkan satu langkah mudah sebelum melakukan sesuatu - basuh tangan – terbukti benar. Kerana selepas itu kadar kematian di kalangan wanita bersalin telah dapat diturunkan dengan hanya mewujudkan polisi basuh tangan sebelum memeriksa pesakit yang lain. Ia telah dapat mengurangkan risiko penyebaran penyakit berjangkit!

Jadi jika ada orang bertanya, “Bolehkah dengan mencuci tangan dapat menghindarkan penyakit berjangkit?”, maka jawapannya, “Boleh, insyaAllah, dengan izin Allah. Ikhtiar itu penting!”

Apakah Penggunaan Hand Sanitizer Ini Kaedah Efektif Menjamin Kebersihan Tangan?

Dalam keadaan tertentu, ya. Dalam keadaan lain, perlu basuh tangan dengan air dan sabun dahulu sebelum guna hand sanitizer.

Terdapat dua (2) kaedah utama yang biasanya digunakan dalam memastikan tangan sentiasa bersih – pertamanya menggunakan air dan sabun, dan keduanya menggunakan hand sanitizer. Kaedah pertama memang sudah lama menjadi kelaziman kita untuk membersihkan tangan, terutamanya selepas menggunakan tandas, sebelum dan selepas menjamu selera. Manakala hand sanitizer pula dianggap sebagai satu kaedah baru yang lebih selesa dan boleh diterima pakai oleh setiap individu dalam memastikan tangan tidak basah dek air dan sabun. Hand sanitizer merupakan cecair yang mengandungi alkohol bagi membasmi mikroorganisma. Tambahan pula, ia boleh dibeli di mana-mana cawangan farmasi atau kedai runcit dan mudah dibawa kemana-mana, malah boleh dimasukkan ke dalam poket.

Jadi bila tangan kita kotor selepas berhadas besar atau selepas makan, atau selepas berkebun terutamanya selepas memegang baja, hendaklah bersihkan dengan menggunakan sabun dan air dahulu, dan keringkan sebelum menggunakan hand sanitizer.

Malah Dr Aaron E Glatt, seorang doktor pakar penyakit berjangkit, menyarankan bahawa amalan membasuh tangan menggunakan air dan sabun harus dijadikan sebagai satu prioriti buat setiap individu bila-bila masa. Hand sanitizer boleh digunakan sebagai cecair tambahan bagi mencegah penyebaran kuman kepada individu yang lain. Sesetengah bakteria, contohnya Clostridium difficile dan Norovirus,  tidak boleh dibasmi dengan hanya menggunakan hand sanitizer. Oleh itu, harus difahami bahawa fungsi hand sanitizer ini adalah seperti suplemen makanan. Setelah menggunakan air dan sabun, kebersihan tangan boleh diperkuatkan dengan penggunaan hand sanitizer.

Konklusi

Perlu diingatkan bahawa fungsi hand sanitizer tidak dapat menggantikan kaedah membasuh tangan dalam menjamin kebersihan tangan kita. Ia hanyalah merupakan satu kaedah tambahan yang berkesan dalam membasmi sekumpulan besar mikroorganisma terutamanya hand sanitizer yang mempunyai kepekatan alkohol yang tinggi.