Peranan Antioksidan Dalam Kesihatan

Ramai orang tidak tahu apa itu radikal bebas (free radicals), apatah lagi mengetahui tentang bahayanya radikal bebas ini. Ramai yang lebih bimbang tentang toksin, asid urik, kolesterol jahat, lemak (tryglycerides) dan sebagainya seperti yang selalu ditunjukkan dalam ujian-ujian darah, tetapi amat sedikit yang bimbang tentang bahayanya radikal bebas ini. Ini adalah kerana radikal bebas tidak dapat ditunjukkan melalui ujian darah atau ujian-ujian lain di klinik atau hospital. Kewujudan radikal bebas hanya diketahui apabila seseorang itu mengalami efek-efeknya seperti kanser, diabetis, penyakit jantung, sakit sendi, kerosakan fungsi otak dan proses penuaan yang cepat seperti kulit berkedut, uban, lupa dan keletihan yang kronik.

Jadi terlalu besar pengaruh negatif radikal bebas terhadap organ tubuh badan. Radikal bebas tidak ubah macam kuman – ia masuk ke dalam badan manusia tanpa disedari oleh sesiapapun kecuali setelah mendapat sakit. Pendekata, kesan radikal bebas ini hanya diketahui apabila timbulnya penyakit seperti yang dinyatakan di atas.

Mereka yang duduk di bandar-bandar besar adalah sangat terdedah kepada pengaruh radikal bebas ini. Ini adalah kerana radikal bebas boleh diperolehi secara langsung melalui pencemaran udara dan air, radiasi ultra violet, stres, rokok atau asap rokok dan pemakanan yang tidak sihat dan berlemak. Manakala mereka yang duduk di kampung atau jauh di pedalaman atau di gunung-gunung kurang terdedah kepada radikal bebas kerana udara dan air yang lebih bersih dan suasana yang lebih aman damai tanpa hiruk pikuk. Contoh yang paling ketara ialah mereka yang duduk di banjaran Himalaya mempunyai jangka hayat yang lebih panjang dan tenaga yang lebih walaupun sudah mencecah usia dua kali ganda dari mereka yang duduk di bandar-bandar.

Radikal bebas juga boleh dikeluarkan oleh tubuh manusia sendiri sebagai hasil sampingan daripada proses metabolisma atau ketika badan terkena jangkitan kuman. 

Bagaimana radikal bebas boleh mendatangkan penyakit atau mempercepatkan proses penuaan? 

Dalam istilah sains, radikal bebas adalah molekul yang kehilangan elektron, sehingga molekul tersebut menjadi tidak stabil dan akan berusaha mengambil elektron dari molekul-molekul atau sel-sel lain. Bila radikal bebas ini wujud terlalu banyak dalam tubuh manusia, terutama yang datang dari punca-punca luaran tadi, ini akan menyebabkan kerosakan banyak sel-sel sihat dalam tubuh manusia dan akhirnya boleh menyebabkan kematian sel-sel tersebut. Bila terlalu banyak sel-sel tubuh yang mati, maka timbullah pelbagai penyakit dan proses penuaan akan berlaku dengan cepat seperti rambut beruban atau keguguran dan kulit berkedut.

Penyakit kanser, contohnya, adalah disebabkan oleh perubahan struktur DNA yang berlarutan yang disebabkan oleh kewujudan radikal bebas yang berlebihan dan berlarutan dalam jangka waktu yang panjang. Penyakit ini hanya disedari setelah keadaannya sangat kronik atau parah.

Begitulah bahayanya pengaruh atau efek radikal bebas jika tidak dibendung dari awal di mana ianya boleh bertindak sebagai pembunuh senyap.

Apakah pengaruh radikal bebas boleh dihalang?

Pengaruh radikal bebas boleh dikurangkan dengan tiga (3) cara:

Pertama – hijrah (migrate)

Berpindah ke tempat udara yang bersih yang jauh dari sebarang pencemaran udara atau air akan mengurangkan kewujudan radikal bebas dalam tubuh kita. Kewujudan radikal bebas yang sedikit boleh dibendung oleh tubuh kita sendiri.

Kedua – ubah cara hidup (lifestyle change)

Mengurangkan kewujudan radikal bebas dengan cara mengubah cara hidup seperti berhenti merokok, berhenti mengambil makanan-makanan segera atau yang berlemak dan berminyak, jauhkan diri dari stres seperti bersukan dengan kawan-kawan, memilih kerja yang sesuai, beriadah dan sebagainya.

Ketiga – pencegahan (prevention)

Sekiranya langkah pertama dan kedua itu sukar untuk dilakukan, maka kita tidak ada cara lain melainkan dengan cara pencegahan. Pencegahan di sini tidak bermaksud mengambil ubat tetapi sekadar mengubah sedikit cara pemakanan iaitu dengan menambahkan makanan yang mengandungi tinggi antioksidan.

Bagaimana Antioksidan Membantu?

Antioksidan bertindak melengkapi kekurangan elektron yang disebabkan oleh radikal bebas. Sewaktu proses metabolisma, oksigen digunakan untuk menyediakan bahan bakar sel. Dalam proses ini, beberapa molekul oksigen kehilangan salah satu elektron. Antioksidan bertindak mencegah serta memperlambatkan proses oksidasi dan seterusnya memperbaiki sel tubuh yang mengalami kerosakan disebabkan oleh radikal bebas.

Menurut seorang penyelidik kanan di Bahagian Tumbuhan Ubatan di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Dr. Mohamed Ilham Adenan, pengambilan harian makanan yang mengandungi antioksidan boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik dan melambatkan proses penuaan. Antioksidan bertindak melawan dan meneutralkan bahan toksik dalam badan yang dinamakan radikal bebas yang boleh menyebabkan kerosakan oksidan kepada protein, enzim, DNA, RNA, asid tidak tepu dan sel membran yang akhirnya menjadi punca kepada pelbagai penyakit-penyakit kronik kanser, diabetis, penyakit jantung, sakit sendi, kerosakan fungsi otak, lupa dan letih yang kronik dan sebagainya.

Bagi memerangi radikal bebas, sistem badan kita sendiri menghasilkan enzim antioksidan asli dan menyerap vitamin A, C dan E untuk membersihkan atau menghapuskan lebihan radikal bebas tetapi jumlahnya sering tidak mencukupi terutamanya bila tubuh kita sentiasa terdedah kepada pencemaran yang berterusan. Begitu juga, penghasilan enzim antioksidan asli ini akan berkurangan apabila usia semakin meningkat dan fungsi penyerapan usus berkurangan.

Oleh itu, pengambilan makanan yang banyak mengandungi antioksidan adalah penting, terutama bagi mereka yang sudah meningkat usia. Terdapat banyak makanan-makanan yang mengandungi antioksidan terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran segar serta ulam-ulam kampung. Daun bawang, bawang putih, bawang merah, cili, gandum, jagung, labu, daging merah, kunyit, kulit kayu manis dan kekacang juga mengandungi antioksidan dalam jumlah yang tertentu.

Persoalannya, mengapa masih ramai yang mendapat penyakit-penyakit kronik seperti kanser, sakit buah pinggang dan kencing manis walaupun makanan-makanan di atas sudah menjadi makanan harian mereka? Jawapannya ialah samada jumlah antioksidan yang diperolehi tidak mencukupi untuk melawan pengaruh radikal bebas, atau, tubuh mereka terdedah kepada radikal bebas yang berlebihan dan berterusan sehingga tidak mampu dibendung oleh antioksidan yang diperolehi dari makanan-makanan atau yang dikeluarkan oleh badan mereka sendiri.

Masalah ini boleh di atasi dengan pengambilan makanan-makanan yang mengandungi antioksidan yang tinggi dan berkualiti secara konsisten. Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran tidak mengandungi jumlah antioksidan yang tinggi. Lebih teruk lagi kalau buah-buahan dan sayur-sayuran ini tidak diambil dalam bentuk yang segar. Majoriti antioksidan akan hilang apabila buah-buahan dan sayur-sayuran ini diproses.

Tahukah anda bahawa rempah ratus mengandungi antioksidan yang sangat tinggi? Kandungan antioksidan dalam cengkih, kayu manis, kunyit, jintan, halia, lada hitam, serbuk kari dan serbuk cili adalah jauh lebih tinggi daripada buah-buahan yang terkenal dengan kandungan antioksidannya seperti buah delima, acai, strawberi, beri biru, anggur, goji, manggis dan kiwi. Cuma masalahnya, kita tidak mampu untuk mengambil rempah ratus ini dalam bentuk yang asal seperti halnya dengan buah-buahan segar melainkan melalui masakan sahaja yang mungkin akan mengurangkan kandungan antioksidannya.

Baobab Adalah Raja Antioksidan


Antioksidan diukur dalam unit nilai ORAC iaitu μ mol TE/100g (micromoles Trolox Equivalents per 100gm sample). Tiap-tiap 100gm Baobab mengandungi 140,000 μ mol TE/100g. Jumlah ini melebihi 40% jumlah antioksidan dalam Acai dan hampir 6 kali ganda dari jumlah antioksidan dalam Goji. Manakala buah-buah beri seperti strawberi, raspberry dan blueberry mengandungi antioksidan kurang dari 10,000 μ mol TE/100g. Jadi kandungan antioksidan dalam Baobab adalah jauh lebih tinggi daripada buah-buah superfruit yang lain.

Ikuti artikel Baobab Sebagai Superfood untuk keterangan lanjut mengenai raja antioksidan ini.